My Birthday


Make your own Countdown Clocks

Saturday, 5 September 2009

Umat Islam jangan cerca agama lain - Najib

Sabtu September 5, 2009

Umat Islam jangan cerca agama lain - Najib

MARAN: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya menjauhi perbuatan menghina dan mencerca agama lain dan penganutnya sebaliknya berpegang kepada ajaran Islam sebenar dengan menghormati mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbuatan seumpama itu boleh mengundang perkara yang lebih padah kerana mereka yang dicerca itu mungkin akan membalasnya dengan lebih teruk lagi dan akan membawa kepada perpecahan kaum dan bangsa.

"Janganlah kita mencerca agama orang lain, biar Allah yang membalasnya di akhirat nanti kerana jika kita cerca agama lain, orang boleh cerca agama kita lebih hebat lagi," katanya ketika berucap selepas majlis berbuka puasa dan solat Maghrib bersama 1,000 penduduk Mukim Chenor di Masjid Jamek Chenor dekat sini semalam.

Memetik ayat ke108 dalam surah AlAn'am, Najib berkata umat Islam juga dilarang menghina apa saja benda yang disembah oleh penganut agama lain kerana dengan cara itu, penganut agama lain itu tidak akan menghina Allah S.W.T.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Chenor Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak.

Beliau berkata, Rasulullah s.a.w sendiri ketika membina negara Islam pertama di Madinah dengan Perlembagaan Madinah telah menjadikan agama Islam sebagai teras pemerintahannya dan agama lain turut dibenarkan untuk diamalkan.

"Ia menyebabkan masyarakat di Madinah hidup dengan aman. Di negara kita juga ada kaum minoriti yang besar....Insya Allah kita juga akan menjadi negara aman, kalau negara kita tidak aman, kita tidak mungkin mengecapi pembangunan yang hebat sekarang ini," katanya.

Selain itu, Najib juga meminta umat Islam kembali kepada perjuangan agama Islam sebenar dengan menjauhi perkara seperti hasad dengki, benci melampau, adu domba, kaki gaduh, kaki umpat, miskin dan dikaitkan dengan pelbagai permasalahan.

"Itulah persepsi negara Barat terhadap agama Islam. Kita perlu menjauhi perkara berkenaan, sebaliknya kembali kepada ajaran sebenar Islam supaya umat Islam menjadi model dan contoh kepada umat lain," katanya.BERNAMA

*copied from http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/9/5/mstar_berita/20090905130352&sec=mstar_berita